Khamis, 26 Disember 2013

Ahad, 22 Disember 2013

TEKNOLOGI BANTUAN UNTUK PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS

Peningkatan penggunaan teknologi dalam pengajaran memberi peluang untuk membantu pelajar bekeperluan khas mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan dapat dilaksanakan dengan penggunaan teknologi bantuan. 

Secara amnya teknologi bantuan merupakan sebarang bentuk peralatan atau bahan bantuan atau perkhidmatan yang boleh digunakan untuk membantu individu berkeperluan khas meningkatkan tahap kefungsiannya. Dalam maksud kata lain, kebolehan seseorang dalam kehidupan hariannya dan keyakinan diri dapat ditingkatkan dengan menggunakan teknologi bantuan. Perkara ini penting bagi pelajar berkeperluan khas kerana ia dapat membantu mereka menjalani kehidupan dengan sebaik mungkin.

Teknologi bantuan adalah kontinum kepada bahan-bahan, strategi dan perkhidmatan yang sesuai dengan keperluan, kebolehan dan tugasan pelajar. Apabila mempertimbangkan penggunaan teknologi bantuan, adalah penting bagi sesuatu kumpulan, guru atau individu melihat kepada kontinum rancangan teknologi bantuan yang boleh didapati. Teknologi yang membantu pelajar berkeperluan khas dalam proses pembelajaran tidak semestinya mahal atau sukar untuk memastikan wujudnya kelainan dalam pembelajaran. Aplikasi teknologi yang sesuai dengan keperluan pelajar seharusnya membantu meningkatkan kejayaan pelajar dalam pembelajarannya dengan berkesan. Antara teknologi yang boleh diguanakan sebagai teknologi bantuan kepada pelajar berkeperluan khas ialah :







TEKNOLOGI MASA DEPAN

10 video tentang teknologi masa hadapan... SELAMAT MENONTON!!!!!




















Sabtu, 21 Disember 2013

PALSI SEREBRUM (CEREBRAL PALSY)

Definisi Palsi Serebrum 

Istilah serebrum merujuk kepada otak manakala palsi pula bermaksud gangguan terhadap pergerakan ataupun postur. Orang yang mengalami serebrum palsi bermaksud mereka tidak dapat menggunakan sebahagian daripada otot di dalam badan mereka dalam keadaan normal, akibat kerosakan dalm otak.

Kebiasaannya, kerosakan ini berlaku sebelum, semasa ataupun selepas kelahiran, disebabkan oleh otak yang tidak berkembang dengan baik ataupun berlaku perkara yang membawa kepada kerosakan otak yang sedang berkembang seperti kecederaan ataupun kekurangan oksigen. Pendarahan di dalam otak ataupun jangkitan menyebabkan berlakunya palsi serebrum. Ada kalanya kanak-kanak yang dilahirkan normal tetapi mengalami jangkitan dalam otak ataupun trauma membawa kepada palsi serebrum. Keadaan ini menjejaskan tona otot iaitu tahap ketegangan otot yang mengganggu pergerakan spontan dan melambatkan perkembangan motor kasar dan motor halus. 

Palsi serebrum bukan perkara yang dapat diubati walaupun pendidikan, terapo dan teknologi dapat membantu individu yang mengalaminya menjalani kehidupan yang produktif. Walaupun begitu, perlu diketahui palsi serebrum bukan satu jenis penyakit, malah ia tidak menjadi lebih teruk. Kanak-kanak yang dilahirkan dengan palsi serebrum terus mengalaminya sepanjang hayat mereka.

Palsi serebrum adalah berkaitan dengan ketidakupayaan fungsi kawalan motor, terutamanya kawalan otot dan koordinasi. Bergantung kepada bahagian otak yang rosak, satu ataupun lebih daripada yang berikut berlaku:

  • ketegangan otot
  • pergerakan tanpa diarah
  • gangguan dalam mobiliti
  • sensasi dan persepsi yang abnormal
  • kecacatan dalam penglihatan, pendengaran dan pertuturan
  • sakit secara tiba-tiba


Punca Palsi Serebrum

Palsi serebrum berlaku akibat kerosakan otak. Terdapat dua masalah yang menyebabkan kerosakan otak yang membawa kepada palsi serebrum iaitu :

  • kegagalan otak untuk berkembang dengan baik
  • kerosakan saraf di dalam otak bayi yang sedang berkembang
Tahap kerosakan biasanya bergantung pada jenis dan masa kecederaan itu berlaku. Bagi bayi pramatang ataupun dilahirkan tidak cukup bulan, pendarahan ke dalam otak boleh menyebabkan kerosakan yang teruk. Lagi lama bayi di dalam kandungan tidak mendapat oksigen, lebih besar peluangnya untuk mendapat kerosakan dalam tisu otak.


Jenis Palsi Serebrum

Terdapat tiga jenis palsi serebrum yang utam iaitu :

  1. Palsi serebrum spastik : Ketegangan otot adalah pada tahap abnormal yang tinggi dan meningkat semasa menjalankan aktiviti. Otot dan sendi adalah ketat dan kaku serta pergerakan adalah terhad.
  2. Palsi serebrum athetosis : Ketegangan otot berubah secara konstan atau malar, biasanya daripada ketegangan normal ke tahap tinggi. Tiada koordinasi daripada segi pergerakan dan tidak terkawal.
  3. Palsi serebrum ataxia : Masalah yang teruk daripada segi imbangan dan koordinasi.
Tanda-tanda Awal Palsi Serebrum 

Apabila kanak-kanak mengalami kerosakan otak, pelbagai gejala yang ditunjukkan boleh membuatkan para doktor dan ibu bapa dapat membuat andaian sesuatu yang tidak kena sedang berlaku terhadap kanak-kanak itu. Dalam beberapa bulan pertama kelahiran, bayi dengan kerosakan otak mungkin menunjukkan gejala di bawah :
  • kelihatan lesu dan kurang sedar
  • tidak selesa dan sukar dijaga
  • abnormal, sering menangis dengan kuat
  • tangan dan kaki menggeletar
  • sukar menghisap dan menelan
  • ketegangan otot yang rendah
  • postur yang abormal, suka mengiring sebelah badan sahaja
  • diserang sakit secara tiba-tiba
  • mata selalu berkelip-kelip
  • badan tersentak-sentak, refleks yang abnormal

Dalam tempoh enam bulan pertama, tanda-tanda yang berkaitan dengan kerosakan otak juga dapat dilihat dalam ketegangan otot dan postur bayi, seperti :

  • ketegangan otot mungkin berubah perlahan-lahan daripada ketegangan yang rendah kepada ketegangan yang tinggi hingga ia menjadi kaku
  • bayi mungkin menggenggam tangannya
  • mengkin berlaku pergerakan simetri, iaitu satu bahagian badan dapat bergerak dengan lebih mudah berbanding bahagian sebelah lagi
  • bayi mungkin mengahadapi kesukaran untuk makan kerana lidahnya menolak makanan keluar
Apabila bayi yang mengalami kerosakan otak mencapai umur enam bulan, biasanya kemahiran pergerakan bagi bayi itu menjadi sangat lambat, seperti menggulingkan badan, merangkak, duduk, berdiri, berjalan dan bercakap. Biasanya ibu bapa dapat mengesan kelambatan ini serta tingkah laku yang abnormal dan menyatakan kebimbangan mereka kepada pakar perubatan. Kebiasaannya para profesional tidak menggunakan istilah palsi serebrum pada peringkat awal. Mereka menggunakan istilah berikut :
  • perkembangan lambat dalam perkembangan bayi normal
  • perkembangan lambat dalam sistem saraf
  • ketidakupayaan motor


Isnin, 9 Disember 2013

AUTISME

Definisi Autisme

Istilah autisme berasal dari perkataan autos yang bererti diri sendiri dan isme yang bererti aliran. Ini bermakna autisme membawa maksud keadaan yang menyebabkan kanak-kanak menumpukan perhatian dalam dunianya sendiri. Autisme adalah kategori ketidakupayaan yang dicirikan dengan gangguan dalam komunikasi, interaksi sosial, gangguan deria, pola bermain, dan perilaku emosi. Gejala autisme mula kelihatan sebelum kanak-kanak berumur tiga tahun. Keadaan ini dialami di sepanjang kehidupan kanak-kanak itu.

Kanak-kanak autisme sering menimbulkan kekeliruan bagi penjaganya kerana mereka kelihatan normal tetapi memaparkan tingkah laku dan pola perkembangan yang berbeza. Pemahaman dan tanggapan yang salah terhadap keadaan kecacatan ini membawa kepada kelewatan perkembangan yang serius dalam semua bidang perkembangan terutamanya dalam bidang kemahiran sosial dan komunikasi.

Kebanyakan kanak-kanak autisme juga mengalami terencat akal tetapi dalam pelbagai tahap. Dalam kemahiran koordinasi mata-tangan, sama ada mereka menghadapi masalah ataupun mereka lebih maju dalam aspek itu dan kemahiran lain. Mereka mungkin tidak dapat bertutur, hanya mengeluarkan bunyi-bunyi ataupun meniru apa yang diperkatakan orang lain. Mereka juga tidak suka disentuh ataupun berhubung dengan orang lain ataupun mungkin selalu berpaut pada sesiapa sahaja.


Punca Masalah Autisme

Punca sebenar autisme tidak diketahui tetapi beberapa teori terakhir mengatakan faktor genetik memainkan peranan penting yang menyebabkan berlakunya keadaan autistik pada kanak-kanak. bayi yang dilahirkan kembar hasil daripada satu telur didapati kemungkinan mengalami gangguan autistik. Selain itu, pengaruh virus yang dihidapi oleh si ibu semasa hamil seperti rubela, toxo, herpes, pemakanan yang tidak berzat, pendarahan, keracunan makanan juga mempengaruhi pertumbuhan sel otak yang dapat menyebabkan fungsi otak bayi yang dikandung terganggu terutama dalam aspek fungsi pemahaman, komunikasi dan interaksi.

Malah kini, turut dikenalpasti dalam punca berlakunya autistik adalah akibat pencernaan. Lebih dari 60% kanak-kanak autistik mempunyai sistem pencernaan yang kurang baik. Makanan seperti susu berasaskan haiwan dan tepung gandum tidak dapat dicernakan dengan baik dan ini menyebabkan protein daripada makanan ini tidak berubah menjadi asid amino ataupun pepton, iaitu bentuk rantaian yang mana akhirnya dibuang melalui kencing. Bagi kanak-kanak autistik, pepton ini diserap kembali oleh tubuh, memasuki aliran darah, terus ke otak dan diubah menjadi morfin iaitu casomorfin dan gliadrofin, yang merosakkan sel-sel otak dan menyebabkan fungsi otak terganggu. Fungsi otak yang terganggu adalah melibatkan fungsi kognitif, komunikasi reseptif, perhatian dan tingkah laku.


Ciri-ciri Kanak-kanak Autisme

Kanak-kanak autisme mempunyai masalah ataupun gangguan dalam bidang berikut:

Komunikasi  
-perkembangan bahasa yang lambat ataupun tiada langsung.
-kelihatan seperti bermasalah pendengaran dan tidak mengendahkan apa yang dikatakan oleh orang lain.
-jarang menggunakan bahasa.
-sukar diajak bercakap.
-kadangkala dapat menuturkan sesuatu tetapi buat seketika sahaja.
-perkataan yang dituturkan tidak sesuai dengan pertanyaan.
-mengeluarkan bahasa yang tidak difahami.
-meniru perbualan ataupun perkataan orang lain (echolalia)
-dapat meniru ayat ataupun nyanyian tanpa mengerti maksudnya.
-suka menarik tangan orang lain bila meminta sesuatu.

Interaksi Sosial
-suka bersendirian
-tiada kontak mata dan sentiasa mengelak daripada memandang muka orang lain.
-tidak gemar bermain dengan rakan dan sering menolak ajakan rakan.
-suka menjauhkan diri dan duduk di suatu sudut.

Gangguan Deria
-sensitif pada sentuhan
-tidak suka dipegang ataupun dipeluk.
-sensitif dengan bunyi yang kuat dan menutup telinga.
-suka mencium dan menjilat mainan ataupun benda-benda lain.
-kurang sensitif pada rasa sakit ataupun takut.

Pola Bermain
-tidak suka bermain seperti kanak-kanak sebayanya.
-tidak suka bermain dengan rakan sebayanya.
-tidak bermain mengikut cara biasa, dan suka memutar-mutar ataupun melambung-menyambut alat mainan ataupun apa sahaja yang dipegangnya.
-suka dengan objek-objek yang berputar seperti kipas angin.
-apabila ia menyukai sesuatu benda, terus dipegang dan dibawa ke mana-mana sahaja.

Tingkah Laku
-sama ada hiperaktif ataupun hipoaktif.
-melakukan perbuatan ataupun gerakan yang sama dan berulang-ulang seperti bergoyang-goyang, mengepakkan tangan dan menepuk tangan, berputar-putar, mendekatkan mata ke televisyen, berlari ataupun berjalan mundar-mandir.
-tidak suka kepada perubahan.
-dapat duduk tanpa membuat apa-apa dan tanpa apa-apa reaksi.

Emosi
-sering marah, ketawa dan menangis tanpa sebab.
-mengamuk tanpa terkawal jika tidak dituruti kemahuannya ataupun dilarang daripada melakukan sesuatu yang diingininya.
-merosakkan apa sahaja yang ada di sekitarnya jika emosinya terganggu.
-menyerang sesiapa sahaja berhampirannya jika emosinya terganggu.
-ada kalanya mencederakan diri sendiri.
-tiada rasa simpati dan tidak memahami perasaan orang lain.

Kanak-kanak autisme kurang berinteraksi dengan rakan-rakan dan biasanya memaparkan tingkah laku yang negatif seperti menjerit ataupun merosakkan harta benda orang lain. Kebanyakan masalah yang timbul adalah akibat gangguan terhadap interaksi sosial yang normal. Masalah disiplin ketara bagi kanak-kanak kategori ini malah mereka kurang terpengaruh dengan puji-pujian ataupun peneguhan sosial yang lain. Time out biasanya adalah cara yang tidak efektif bagi mengurangkan tingkah laku negatif kerana mereka dibiarkan sendirian.