Sabtu, 16 November 2013

KANAK-KANAK MASALAH PENGLIHATAN

Masalah Penglihatan

Masalah penglihatan melibatkan individu yang tidak pernah dapat melihat, ataupun yang pernah melihat beberapa tahun tetapi lama kelamaan kehilangan penglihatan sedikit ataupun keseluruhan, ataupun mereka yang mengalami ketidakupayaan lain ditambah pula dengan masalah penglihatan, ataupun mereka yang mempunyai ketidakupayaan dalam bahagian-bahagian penglihatan. Ini bermakna masalah penglihatan merujuk kepada semua tahap terhad dalam penglihatan, merangkumi semua tahap.

Jenis Masalah Penglihatan

Terdapat dua kategori utama dalam masalah penglihatan iaitu buta dan rabun ataupun juga disebut penglihatan terhad (low vision). Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan buta dan rabun sebagai:

  1. Buta - penglihatan kurang daripada 3/60, pada mata yang terbaik ataupun medan penglihatan kurang daripada 10' setelah menerima rawatan ataupun pembetulan biasan (refraktive)
  2. Rabun ataupun penglihatan terhad (low vision) - penglihatan kurang daripada 6/18 sehingga persepsi cahaya pada mata yang terbaik ataupun medan penglihatan kurang daripada 10' sesudah rawatan ataupun pembetulan biasan (refraktive). Individu dengan penglihatan terhad dapat melakukan tugas seharian menggunakan deria penglihatan.

Punca Masalah Penglihatan

Terdapat pelbagai punca bagi kecacatan ini termasuk:
  • Baka dan keturunan
  • Komplikasi semasa hamil dan semasa lahir
  • Rubela
  • Sifilis 
  • Kecederaan
  • Penyakit

Tahap Kecacatan
  • Sederhana
  • Teruk
  • Sangat teruk

Tanda-tanda Masalah Penglihatan

1. Rupa
  • Bebola mata yang selalu berputar-putar
  • Mata yang selalu bergerak-gerak
  • Tidak bertindak balas terhadap cahaya yang terang
  • Bintik-bintik putih pada pupil
  • Bahagian tepi mata berwarna merah
  • Mata selalu berair
  • Mata yang terlalu sensitif terhadap cahaya
2. Tingkah Laku
  • Selalu memusingkan kepala ke sebelah sahaja, misalnya untuk melihat papan tulis ataupun objek
  • Selalu mengerutkan ataupun mengecilkan mata
  • Kerap berkelip
  • Kerap menggosok mata
  • Selalu menutup sebelah mata
  • Selalu terlanggar objek
  • Keliru dengan huruf
  • Menonton televisyen ataupun membaca buku dengan jarak terlalu dekat
  • Memegang buku ataupun bahan bacaan terlalu dekat dengan muka ataupun pada sudut berlainan
  • Sering mencari-cari baris ayat yang dibaca
  • Meniru kerja kawan
  • Tidak menyiapkan tugasan yang diberi
  • Selalu mengelak membuat sebarang tugasan yang diberi
3. Aduan
  • Selalu mengadu sakit kepala, loya dan pening
  • Penglihatan kabur
  • Nampak dua imej pada satu objek
  • Penglihatan kabur selepas tekun membuat kerja
  • Sensitif terhadap cahaya
  • Mata yang selalu gatal


KANAK-KANAK BERMASALAH PENDENGARAN

Masalah Pendengaran

Orang yang bermasalah pendengaran selalu disalah tanggap dengan seorang yang normal kerana kecacatan mereka tidak ketara seperti mereka yang bermasalah penglihatan dan yang terencat akal. Mereka juga kurang mendapat simpati seperti orang yang bermasalah penglihatan. Disebabkan itu, Hellen Keller, yang buta dan pekak, di dalam autobiografinya menyatakan jika dia diberi peluang memilih antara buta dan pekak, dia rela memilih sebagai seorang yang buta. Ini kerana orang bermasalah pendengaran atau pekak berasa terasing. (Herth, 1998).

Kanak-kanak pekak dan yang mengalami masalah pendengaran bukan daripada satu kumpulan yang sama walaupun mereka mengalami masalah pendengaran. Ini kerana, tahap kehilangan pendengaran, jenis pendengaran dan sebab kehilangan pendengaran adalah berbeza dan ini menjadikan setiap kanak-kanak bermasalah pendengaran berbeza antara satu sama lain.



Punca Masalah Pendengaran

Masalah pendengaran berpunca daripada pelbagai faktor iaitu sebelum, semasa dan selepas lahir.

1. Sebelum lahir

  • Baka yang disebabkan oleh gen
  • Bukan baka (jangkitan semasa hamil, terutama oleh virus seperti rubela, demam glandular dan selsema/semasa hamil, si ibu mendapat penyakit yang berkaitan dengan pemakanan seperti beri-beri dan kencing manis/semasa hamil, si ibu mengambil dadah ataupun bahan kimia seperti kuanin dan streptomycin/toksemia pada peringkat akhir kehamilan/kerap hamil)
2. Semasa lahir
  • Masa lahir yang terlalu lama ataupun susah yang menyebabkan tekanan yang kuat pada bahagian telinga.
  • Kelahiran tidak cukup bulan.
  • Kecederaan semasa dilahirkan, terutama pada bahagian telinga.
  • Penyakit hemolisis selalunya yang disebabkan oleh faktor Rh.
3. Selepas lahir
  • Kanak-kanak menghidap penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria dan virus seperti beguk dan demam campak.
  • Kemalangan yang mencederakan bahagian telinga.
  • Pengambilan antibiotik seperti streptomycin.
  • Terdedah pada bunyi yang terlalu kuat dalam jangka masa yang lama.

Jenis Masalah Pendengaran

Tahap kehilangan pendengaran adalah seperti:
  1. Ringan (mild)
  2. Sederhana (moderate)
  3. Sederhan teruk (moderate-severe)
  4. Pekak

Tanda-tanda Kanak-kanak Bermasalah Pendengaran
  • Kanak-kanak kurang memberi perhatian di dalam kelas.
  • Kelihatan selalu berkhayal.
  • Butir-butir percakapan yang tidak jelas dan janggal.
  • Kelihatan terkejut apabila dihampiri dari belakang.
  • Kanak-kanak tidak memahami dan mengikut arahan yang diberi.
  • Tidak melibatkan diri dalam aktiviti yang memerlukan kemahiran bertutur.
  • Sering bertanya mengenai tugasan yang perlu dilakukan.
  • Pencapaian dalam pelajaran lemah terutama yang berkaitan dengan bahasa.

Kaedah Komunikasi dengan Kanak-kanak Bermasalah Pendengaran
  • Kaedah auditory oral
  • Kaedah bacaan bibir
  • Kaedah bahasa isyarat
  • Kaedah komunikasi seluruh
  • Pertuturan isyarat (cued speech)





PENGESANAN DAN INTERVENSI AWAL UNTUK KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS

Dalam soal pengendalian kanak-kanak khas, dua prinsip utama perlu diikuti iaitu mengenal pasti kecacatan seawal mungkin dan menjalankan intervensi awal berdasarkan masalah yang dihadapi. Ini penting kerana kadar tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak berlaku dengan pesat sekali pada peringkat usia di bawah lima tahun iaitu apa yang disebut sebagai critical periods of growth and development.

Dr Aminah Bee (2000), menggariskan peranan pihak sekolah daripada segi pengesanan awal iaitu:

  • Guru kelas biasa perlu peka apabila kanak-kanak kurang memberi perhatian ataupun kurang cekap dalam pelajaran.
  • Guru kelas biasa perlu sedar terdapat dalam kalangan kanak-kanak normal yang mempunyai masalah pembelajaran dan jangan meletakkan label 'malas' ataupun 'bodoh' kepada murid.
  • Guru kelas biasa dapat merujuk kes yang disyaki kepada guru yang mempunyai latihan dalam pendidikan khas kerana guru ini dapat mengenal pasti secara kasar masalah yang dihadapi oleh murid.
  • Kanak-kanak yang baru memulakan persekolahan di tahun satu perlu disaring bagi mengenal pasti masalah pembelajaran spesifik kerana sepatutnya ia sudah dapat menulis namanya sendiri.
  • Merujuk kanak-kanak kepada pasukan kesihatan sekolah ataupun klinik kesihatan yang berdekatan bagi pemeriksaan lebih terperinci.
  • Mengetahui tanda-tanda awal masalah pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak.
Bailey (1996) menggariskan empat rasional bagi kepentingan intervensi awal dengan melibatkan pelbagai pakar:
  1. Kanak-kanak dengan keperluan khas mengalami pelbagai masalah dan perlu dikendalikan oleh pelbagai pakar.
  2. Pakar-pakar yang mengendali kanak-kanak khas ini perlu menentukan objektif dan rawatan yang sesuai untuk kanak-kanak dalam pelbagai bidang.
  3. Komitmen semua pihak diperlukan bagi melaksanakan perkhidmatan yang dicadangkan untuk kanak-kanak khas.
  4. Keputusan yang diambil bagi menentukan serta melaksanakan perkhidmatan melibatkan pelbagai disiplin.
Program intervensi awal di Malaysia dijalankan oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mengendalikan kanak-kanak dengan keperluan khas di peringkat umur 0 hingga 3 tahun. Manakala, di peringkat umur 4 hingga 6 tahun, iaitu peringkat prasekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil langkah dengan menyediakan program Pendidikan Khas Prasekolah bagi ketiga-tiga kategori ketidakupayaan iaitu masalah pendengaran, masalah penglihatan dan masalah pembelajaran, mulai tahun 2003.



CIRI-CIRI KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS

Apabila kanak-kanak itu dikategorikan sebagai mengalami kecacatan dalam satu-satu aspek, kategorinya menjadi label kepada kanak-kanak itu. Kesannya pasti mempengaruhi bukan sahaja rasa rendah diri dalam diri kanak-kanak itu tetapi meningkatkan diskriminasi terhadap kumpulan ini. Tidak dinafikan, mengkategorikan ataupun melabelkan orang boleh mendatangkan kesan negatif. Tetapi kategori ini perlu dilakukan bagi membolehkan perkhidmatan khusus diberi kepada kanak-kanak itu mengikut keperluannya.

Kanak-kanak yang tidak memberi respons terhadap komunikasi lisan dan kelihatan tidak gembira, mungkin mengalami masalah pendengaran ataupun gangguan emosi. Kategori ataupun label yang diperuntukkan terhadap kanak-kanak membawa kepada jenis dan rawatan yang berbeza. Di samping itu, kategori dan label juga dapat membantu dalam mengenal pasti faktor yang membawa kepada kecacatan ataupun masalah itu. 

Menurut Aird (2001), informasi tentang kecacatan dapat digunakan bagi mengenal pasti keistimewaan tentang:

  1. Ketidakupayaan kanak-kanak dalam aspek implikasi terhadap pengajaran, pembelajaran, penjagaan dan rawatan.
  2. Organisasi sekolah dalam aspek kurikulum, tenaga pengajar, persekitaran dan pakatan pelbagai agensi.