Dr Aminah Bee (2000), menggariskan peranan pihak sekolah daripada segi pengesanan awal iaitu:
- Guru kelas biasa perlu peka apabila kanak-kanak kurang memberi perhatian ataupun kurang cekap dalam pelajaran.
- Guru kelas biasa perlu sedar terdapat dalam kalangan kanak-kanak normal yang mempunyai masalah pembelajaran dan jangan meletakkan label 'malas' ataupun 'bodoh' kepada murid.
- Guru kelas biasa dapat merujuk kes yang disyaki kepada guru yang mempunyai latihan dalam pendidikan khas kerana guru ini dapat mengenal pasti secara kasar masalah yang dihadapi oleh murid.
- Kanak-kanak yang baru memulakan persekolahan di tahun satu perlu disaring bagi mengenal pasti masalah pembelajaran spesifik kerana sepatutnya ia sudah dapat menulis namanya sendiri.
- Merujuk kanak-kanak kepada pasukan kesihatan sekolah ataupun klinik kesihatan yang berdekatan bagi pemeriksaan lebih terperinci.
- Mengetahui tanda-tanda awal masalah pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak.
Bailey (1996) menggariskan empat rasional bagi kepentingan intervensi awal dengan melibatkan pelbagai pakar:
- Kanak-kanak dengan keperluan khas mengalami pelbagai masalah dan perlu dikendalikan oleh pelbagai pakar.
- Pakar-pakar yang mengendali kanak-kanak khas ini perlu menentukan objektif dan rawatan yang sesuai untuk kanak-kanak dalam pelbagai bidang.
- Komitmen semua pihak diperlukan bagi melaksanakan perkhidmatan yang dicadangkan untuk kanak-kanak khas.
- Keputusan yang diambil bagi menentukan serta melaksanakan perkhidmatan melibatkan pelbagai disiplin.
Program intervensi awal di Malaysia dijalankan oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mengendalikan kanak-kanak dengan keperluan khas di peringkat umur 0 hingga 3 tahun. Manakala, di peringkat umur 4 hingga 6 tahun, iaitu peringkat prasekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil langkah dengan menyediakan program Pendidikan Khas Prasekolah bagi ketiga-tiga kategori ketidakupayaan iaitu masalah pendengaran, masalah penglihatan dan masalah pembelajaran, mulai tahun 2003.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan