Jumaat, 15 November 2013

SIAPAKAH KANAK-KANAK BEKEPERLUAN KHAS? ? ?

Kanak-kanak bekeperluan khas adalah gelaran yang diberi kepada kanak-kanak  yang memerlukan keperluan khas yang juga disebut sebagai kanak-kanak istimewa, kanak kurang upaya ataupun kanak-kanak cacat.

Kanak-kanak bekeperluan khas didefinisikan sebagai kanak-kanak yang berbeza daripada kanak-kanak biasa dalam aspek ciri-ciri mental, keupayaan sensori, keupayaan komunikasi, tingkah laku sosial, ataupun ciri-ciri fizikal. Perbezaan-perbezaan ini adalah mencapai tahap yang mana kanak-kanak memerlukan modifikasi dalam aktiviti-aktiviti sekolah ataupun perkhidmatan pendidikan khas bagi membolehkannya berkembang pada kapasiti umum. 

Terdapat pelbagai kecacatan yang menjadikan kanak-kanak itu sebagai kanak-kanak yang memerlukan penjagaan, perhatian, malah pendidikan yang khusus. Farrell (2003) mengkategorikan kecacatan seperti berikut:

Komunikasi dan interaksi
  • Masalah pertuturan dan bahasa
  • Masalah pembelajaran spesifik seperti disleksia ataupun dispraxia
  • Cacat pendengaran 
  • Autistik
  • Masalah pembelajaran sederhana dan teruk
Kognitif dan pembelajaran

Perkembangan tingkah laku, emosi dan sosial
  • Masalah emosi dan tingkah laku
  • Menyendiri
  • Tingkah laku mencabar
  • Menganggu
  • Hiperaktif dan kurang tumpuan 
  • Kemahiran sosial yang tidak matang
Sensori dan fizikal
  • Cacat pendengaran 
  • Cacat penglihatan







PENDIDIKAN KHAS DI MALAYSIA

Pendidikan khas di Malaysia adalah di bawah empat kementerian iaitu:

  1. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
  2. Kementerian Kesihatan
  3. Kementerian Pelajaran Malaysia & Kementerian Pengajian Tinggi
  4. Kementerian Sumber Manusia
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diberi tanggungjawab menyediakan perkhidmatan kepada kanak-kanak yang cacat fizikal, terencat akal sederhana dan teruk serta kanak-kanak spastik atau terencat. Manakala Kementerian Kesihatan pula bertanggungjawab menyaring dan mengenal pasti kanak-kanak yang dilahirkan dalam keadaan berisiko.

Berdasarkan Akta Pendidikan 1996-Peraturan-peraturan Pendidikan Khas (1997), 'murid-murid dengan keperluan khas' bermakna murid-murid yang mempunyai:
  1. Kecacatan penglihatan atau
  2. Kecacatan pendengaran atau
  3. Masalah pembelajaran
Program Pendidikan Khas di Malaysia terdiri daripada tiga kategori yang utama iaitu:
  1. Program Pendidikan Khas Bermasalah Pendengaran
  2. Program Pendidikan Khas Bermasalah Penglihatan
  3. Program Pendidikan Khas Integrasi
Ketiga-tiga program itu disediakan dari peringkat prasekolah hingga sekolah menengah. Di samping itu, pendidikan teknik dan vokasional juga disediakan untuk ketiga-tiga kategori ini, khususnya bagi masalah pendengaran. Pelajar masalah pendengaran yang berkelayakan akan dapat meneruskan pengajian mereka di politeknik yang menjalankan program pendidikan secara inklusif.