Istilah serebrum merujuk kepada otak manakala palsi pula bermaksud gangguan terhadap pergerakan ataupun postur. Orang yang mengalami serebrum palsi bermaksud mereka tidak dapat menggunakan sebahagian daripada otot di dalam badan mereka dalam keadaan normal, akibat kerosakan dalm otak.
Kebiasaannya, kerosakan ini berlaku sebelum, semasa ataupun selepas kelahiran, disebabkan oleh otak yang tidak berkembang dengan baik ataupun berlaku perkara yang membawa kepada kerosakan otak yang sedang berkembang seperti kecederaan ataupun kekurangan oksigen. Pendarahan di dalam otak ataupun jangkitan menyebabkan berlakunya palsi serebrum. Ada kalanya kanak-kanak yang dilahirkan normal tetapi mengalami jangkitan dalam otak ataupun trauma membawa kepada palsi serebrum. Keadaan ini menjejaskan tona otot iaitu tahap ketegangan otot yang mengganggu pergerakan spontan dan melambatkan perkembangan motor kasar dan motor halus.
Palsi serebrum bukan perkara yang dapat diubati walaupun pendidikan, terapo dan teknologi dapat membantu individu yang mengalaminya menjalani kehidupan yang produktif. Walaupun begitu, perlu diketahui palsi serebrum bukan satu jenis penyakit, malah ia tidak menjadi lebih teruk. Kanak-kanak yang dilahirkan dengan palsi serebrum terus mengalaminya sepanjang hayat mereka.
Palsi serebrum adalah berkaitan dengan ketidakupayaan fungsi kawalan motor, terutamanya kawalan otot dan koordinasi. Bergantung kepada bahagian otak yang rosak, satu ataupun lebih daripada yang berikut berlaku:
- ketegangan otot
- pergerakan tanpa diarah
- gangguan dalam mobiliti
- sensasi dan persepsi yang abnormal
- kecacatan dalam penglihatan, pendengaran dan pertuturan
- sakit secara tiba-tiba
Punca Palsi Serebrum
Palsi serebrum berlaku akibat kerosakan otak. Terdapat dua masalah yang menyebabkan kerosakan otak yang membawa kepada palsi serebrum iaitu :
- kegagalan otak untuk berkembang dengan baik
- kerosakan saraf di dalam otak bayi yang sedang berkembang
Jenis Palsi Serebrum
Terdapat tiga jenis palsi serebrum yang utam iaitu :
- Palsi serebrum spastik : Ketegangan otot adalah pada tahap abnormal yang tinggi dan meningkat semasa menjalankan aktiviti. Otot dan sendi adalah ketat dan kaku serta pergerakan adalah terhad.
- Palsi serebrum athetosis : Ketegangan otot berubah secara konstan atau malar, biasanya daripada ketegangan normal ke tahap tinggi. Tiada koordinasi daripada segi pergerakan dan tidak terkawal.
- Palsi serebrum ataxia : Masalah yang teruk daripada segi imbangan dan koordinasi.
Tanda-tanda Awal Palsi Serebrum
Apabila kanak-kanak mengalami kerosakan otak, pelbagai gejala yang ditunjukkan boleh membuatkan para doktor dan ibu bapa dapat membuat andaian sesuatu yang tidak kena sedang berlaku terhadap kanak-kanak itu. Dalam beberapa bulan pertama kelahiran, bayi dengan kerosakan otak mungkin menunjukkan gejala di bawah :
- kelihatan lesu dan kurang sedar
- tidak selesa dan sukar dijaga
- abnormal, sering menangis dengan kuat
- tangan dan kaki menggeletar
- sukar menghisap dan menelan
- ketegangan otot yang rendah
- postur yang abormal, suka mengiring sebelah badan sahaja
- diserang sakit secara tiba-tiba
- mata selalu berkelip-kelip
- badan tersentak-sentak, refleks yang abnormal
Dalam tempoh enam bulan pertama, tanda-tanda yang berkaitan dengan kerosakan otak juga dapat dilihat dalam ketegangan otot dan postur bayi, seperti :
- ketegangan otot mungkin berubah perlahan-lahan daripada ketegangan yang rendah kepada ketegangan yang tinggi hingga ia menjadi kaku
- bayi mungkin menggenggam tangannya
- mengkin berlaku pergerakan simetri, iaitu satu bahagian badan dapat bergerak dengan lebih mudah berbanding bahagian sebelah lagi
- bayi mungkin mengahadapi kesukaran untuk makan kerana lidahnya menolak makanan keluar
Apabila bayi yang mengalami kerosakan otak mencapai umur enam bulan, biasanya kemahiran pergerakan bagi bayi itu menjadi sangat lambat, seperti menggulingkan badan, merangkak, duduk, berdiri, berjalan dan bercakap. Biasanya ibu bapa dapat mengesan kelambatan ini serta tingkah laku yang abnormal dan menyatakan kebimbangan mereka kepada pakar perubatan. Kebiasaannya para profesional tidak menggunakan istilah palsi serebrum pada peringkat awal. Mereka menggunakan istilah berikut :
- perkembangan lambat dalam perkembangan bayi normal
- perkembangan lambat dalam sistem saraf
- ketidakupayaan motor

Tiada ulasan:
Catat Ulasan