Khamis, 26 Disember 2013

Ahad, 22 Disember 2013

TEKNOLOGI BANTUAN UNTUK PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS

Peningkatan penggunaan teknologi dalam pengajaran memberi peluang untuk membantu pelajar bekeperluan khas mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan dapat dilaksanakan dengan penggunaan teknologi bantuan. 

Secara amnya teknologi bantuan merupakan sebarang bentuk peralatan atau bahan bantuan atau perkhidmatan yang boleh digunakan untuk membantu individu berkeperluan khas meningkatkan tahap kefungsiannya. Dalam maksud kata lain, kebolehan seseorang dalam kehidupan hariannya dan keyakinan diri dapat ditingkatkan dengan menggunakan teknologi bantuan. Perkara ini penting bagi pelajar berkeperluan khas kerana ia dapat membantu mereka menjalani kehidupan dengan sebaik mungkin.

Teknologi bantuan adalah kontinum kepada bahan-bahan, strategi dan perkhidmatan yang sesuai dengan keperluan, kebolehan dan tugasan pelajar. Apabila mempertimbangkan penggunaan teknologi bantuan, adalah penting bagi sesuatu kumpulan, guru atau individu melihat kepada kontinum rancangan teknologi bantuan yang boleh didapati. Teknologi yang membantu pelajar berkeperluan khas dalam proses pembelajaran tidak semestinya mahal atau sukar untuk memastikan wujudnya kelainan dalam pembelajaran. Aplikasi teknologi yang sesuai dengan keperluan pelajar seharusnya membantu meningkatkan kejayaan pelajar dalam pembelajarannya dengan berkesan. Antara teknologi yang boleh diguanakan sebagai teknologi bantuan kepada pelajar berkeperluan khas ialah :







TEKNOLOGI MASA DEPAN

10 video tentang teknologi masa hadapan... SELAMAT MENONTON!!!!!




















Sabtu, 21 Disember 2013

PALSI SEREBRUM (CEREBRAL PALSY)

Definisi Palsi Serebrum 

Istilah serebrum merujuk kepada otak manakala palsi pula bermaksud gangguan terhadap pergerakan ataupun postur. Orang yang mengalami serebrum palsi bermaksud mereka tidak dapat menggunakan sebahagian daripada otot di dalam badan mereka dalam keadaan normal, akibat kerosakan dalm otak.

Kebiasaannya, kerosakan ini berlaku sebelum, semasa ataupun selepas kelahiran, disebabkan oleh otak yang tidak berkembang dengan baik ataupun berlaku perkara yang membawa kepada kerosakan otak yang sedang berkembang seperti kecederaan ataupun kekurangan oksigen. Pendarahan di dalam otak ataupun jangkitan menyebabkan berlakunya palsi serebrum. Ada kalanya kanak-kanak yang dilahirkan normal tetapi mengalami jangkitan dalam otak ataupun trauma membawa kepada palsi serebrum. Keadaan ini menjejaskan tona otot iaitu tahap ketegangan otot yang mengganggu pergerakan spontan dan melambatkan perkembangan motor kasar dan motor halus. 

Palsi serebrum bukan perkara yang dapat diubati walaupun pendidikan, terapo dan teknologi dapat membantu individu yang mengalaminya menjalani kehidupan yang produktif. Walaupun begitu, perlu diketahui palsi serebrum bukan satu jenis penyakit, malah ia tidak menjadi lebih teruk. Kanak-kanak yang dilahirkan dengan palsi serebrum terus mengalaminya sepanjang hayat mereka.

Palsi serebrum adalah berkaitan dengan ketidakupayaan fungsi kawalan motor, terutamanya kawalan otot dan koordinasi. Bergantung kepada bahagian otak yang rosak, satu ataupun lebih daripada yang berikut berlaku:

  • ketegangan otot
  • pergerakan tanpa diarah
  • gangguan dalam mobiliti
  • sensasi dan persepsi yang abnormal
  • kecacatan dalam penglihatan, pendengaran dan pertuturan
  • sakit secara tiba-tiba


Punca Palsi Serebrum

Palsi serebrum berlaku akibat kerosakan otak. Terdapat dua masalah yang menyebabkan kerosakan otak yang membawa kepada palsi serebrum iaitu :

  • kegagalan otak untuk berkembang dengan baik
  • kerosakan saraf di dalam otak bayi yang sedang berkembang
Tahap kerosakan biasanya bergantung pada jenis dan masa kecederaan itu berlaku. Bagi bayi pramatang ataupun dilahirkan tidak cukup bulan, pendarahan ke dalam otak boleh menyebabkan kerosakan yang teruk. Lagi lama bayi di dalam kandungan tidak mendapat oksigen, lebih besar peluangnya untuk mendapat kerosakan dalam tisu otak.


Jenis Palsi Serebrum

Terdapat tiga jenis palsi serebrum yang utam iaitu :

  1. Palsi serebrum spastik : Ketegangan otot adalah pada tahap abnormal yang tinggi dan meningkat semasa menjalankan aktiviti. Otot dan sendi adalah ketat dan kaku serta pergerakan adalah terhad.
  2. Palsi serebrum athetosis : Ketegangan otot berubah secara konstan atau malar, biasanya daripada ketegangan normal ke tahap tinggi. Tiada koordinasi daripada segi pergerakan dan tidak terkawal.
  3. Palsi serebrum ataxia : Masalah yang teruk daripada segi imbangan dan koordinasi.
Tanda-tanda Awal Palsi Serebrum 

Apabila kanak-kanak mengalami kerosakan otak, pelbagai gejala yang ditunjukkan boleh membuatkan para doktor dan ibu bapa dapat membuat andaian sesuatu yang tidak kena sedang berlaku terhadap kanak-kanak itu. Dalam beberapa bulan pertama kelahiran, bayi dengan kerosakan otak mungkin menunjukkan gejala di bawah :
  • kelihatan lesu dan kurang sedar
  • tidak selesa dan sukar dijaga
  • abnormal, sering menangis dengan kuat
  • tangan dan kaki menggeletar
  • sukar menghisap dan menelan
  • ketegangan otot yang rendah
  • postur yang abormal, suka mengiring sebelah badan sahaja
  • diserang sakit secara tiba-tiba
  • mata selalu berkelip-kelip
  • badan tersentak-sentak, refleks yang abnormal

Dalam tempoh enam bulan pertama, tanda-tanda yang berkaitan dengan kerosakan otak juga dapat dilihat dalam ketegangan otot dan postur bayi, seperti :

  • ketegangan otot mungkin berubah perlahan-lahan daripada ketegangan yang rendah kepada ketegangan yang tinggi hingga ia menjadi kaku
  • bayi mungkin menggenggam tangannya
  • mengkin berlaku pergerakan simetri, iaitu satu bahagian badan dapat bergerak dengan lebih mudah berbanding bahagian sebelah lagi
  • bayi mungkin mengahadapi kesukaran untuk makan kerana lidahnya menolak makanan keluar
Apabila bayi yang mengalami kerosakan otak mencapai umur enam bulan, biasanya kemahiran pergerakan bagi bayi itu menjadi sangat lambat, seperti menggulingkan badan, merangkak, duduk, berdiri, berjalan dan bercakap. Biasanya ibu bapa dapat mengesan kelambatan ini serta tingkah laku yang abnormal dan menyatakan kebimbangan mereka kepada pakar perubatan. Kebiasaannya para profesional tidak menggunakan istilah palsi serebrum pada peringkat awal. Mereka menggunakan istilah berikut :
  • perkembangan lambat dalam perkembangan bayi normal
  • perkembangan lambat dalam sistem saraf
  • ketidakupayaan motor


Isnin, 9 Disember 2013

AUTISME

Definisi Autisme

Istilah autisme berasal dari perkataan autos yang bererti diri sendiri dan isme yang bererti aliran. Ini bermakna autisme membawa maksud keadaan yang menyebabkan kanak-kanak menumpukan perhatian dalam dunianya sendiri. Autisme adalah kategori ketidakupayaan yang dicirikan dengan gangguan dalam komunikasi, interaksi sosial, gangguan deria, pola bermain, dan perilaku emosi. Gejala autisme mula kelihatan sebelum kanak-kanak berumur tiga tahun. Keadaan ini dialami di sepanjang kehidupan kanak-kanak itu.

Kanak-kanak autisme sering menimbulkan kekeliruan bagi penjaganya kerana mereka kelihatan normal tetapi memaparkan tingkah laku dan pola perkembangan yang berbeza. Pemahaman dan tanggapan yang salah terhadap keadaan kecacatan ini membawa kepada kelewatan perkembangan yang serius dalam semua bidang perkembangan terutamanya dalam bidang kemahiran sosial dan komunikasi.

Kebanyakan kanak-kanak autisme juga mengalami terencat akal tetapi dalam pelbagai tahap. Dalam kemahiran koordinasi mata-tangan, sama ada mereka menghadapi masalah ataupun mereka lebih maju dalam aspek itu dan kemahiran lain. Mereka mungkin tidak dapat bertutur, hanya mengeluarkan bunyi-bunyi ataupun meniru apa yang diperkatakan orang lain. Mereka juga tidak suka disentuh ataupun berhubung dengan orang lain ataupun mungkin selalu berpaut pada sesiapa sahaja.


Punca Masalah Autisme

Punca sebenar autisme tidak diketahui tetapi beberapa teori terakhir mengatakan faktor genetik memainkan peranan penting yang menyebabkan berlakunya keadaan autistik pada kanak-kanak. bayi yang dilahirkan kembar hasil daripada satu telur didapati kemungkinan mengalami gangguan autistik. Selain itu, pengaruh virus yang dihidapi oleh si ibu semasa hamil seperti rubela, toxo, herpes, pemakanan yang tidak berzat, pendarahan, keracunan makanan juga mempengaruhi pertumbuhan sel otak yang dapat menyebabkan fungsi otak bayi yang dikandung terganggu terutama dalam aspek fungsi pemahaman, komunikasi dan interaksi.

Malah kini, turut dikenalpasti dalam punca berlakunya autistik adalah akibat pencernaan. Lebih dari 60% kanak-kanak autistik mempunyai sistem pencernaan yang kurang baik. Makanan seperti susu berasaskan haiwan dan tepung gandum tidak dapat dicernakan dengan baik dan ini menyebabkan protein daripada makanan ini tidak berubah menjadi asid amino ataupun pepton, iaitu bentuk rantaian yang mana akhirnya dibuang melalui kencing. Bagi kanak-kanak autistik, pepton ini diserap kembali oleh tubuh, memasuki aliran darah, terus ke otak dan diubah menjadi morfin iaitu casomorfin dan gliadrofin, yang merosakkan sel-sel otak dan menyebabkan fungsi otak terganggu. Fungsi otak yang terganggu adalah melibatkan fungsi kognitif, komunikasi reseptif, perhatian dan tingkah laku.


Ciri-ciri Kanak-kanak Autisme

Kanak-kanak autisme mempunyai masalah ataupun gangguan dalam bidang berikut:

Komunikasi  
-perkembangan bahasa yang lambat ataupun tiada langsung.
-kelihatan seperti bermasalah pendengaran dan tidak mengendahkan apa yang dikatakan oleh orang lain.
-jarang menggunakan bahasa.
-sukar diajak bercakap.
-kadangkala dapat menuturkan sesuatu tetapi buat seketika sahaja.
-perkataan yang dituturkan tidak sesuai dengan pertanyaan.
-mengeluarkan bahasa yang tidak difahami.
-meniru perbualan ataupun perkataan orang lain (echolalia)
-dapat meniru ayat ataupun nyanyian tanpa mengerti maksudnya.
-suka menarik tangan orang lain bila meminta sesuatu.

Interaksi Sosial
-suka bersendirian
-tiada kontak mata dan sentiasa mengelak daripada memandang muka orang lain.
-tidak gemar bermain dengan rakan dan sering menolak ajakan rakan.
-suka menjauhkan diri dan duduk di suatu sudut.

Gangguan Deria
-sensitif pada sentuhan
-tidak suka dipegang ataupun dipeluk.
-sensitif dengan bunyi yang kuat dan menutup telinga.
-suka mencium dan menjilat mainan ataupun benda-benda lain.
-kurang sensitif pada rasa sakit ataupun takut.

Pola Bermain
-tidak suka bermain seperti kanak-kanak sebayanya.
-tidak suka bermain dengan rakan sebayanya.
-tidak bermain mengikut cara biasa, dan suka memutar-mutar ataupun melambung-menyambut alat mainan ataupun apa sahaja yang dipegangnya.
-suka dengan objek-objek yang berputar seperti kipas angin.
-apabila ia menyukai sesuatu benda, terus dipegang dan dibawa ke mana-mana sahaja.

Tingkah Laku
-sama ada hiperaktif ataupun hipoaktif.
-melakukan perbuatan ataupun gerakan yang sama dan berulang-ulang seperti bergoyang-goyang, mengepakkan tangan dan menepuk tangan, berputar-putar, mendekatkan mata ke televisyen, berlari ataupun berjalan mundar-mandir.
-tidak suka kepada perubahan.
-dapat duduk tanpa membuat apa-apa dan tanpa apa-apa reaksi.

Emosi
-sering marah, ketawa dan menangis tanpa sebab.
-mengamuk tanpa terkawal jika tidak dituruti kemahuannya ataupun dilarang daripada melakukan sesuatu yang diingininya.
-merosakkan apa sahaja yang ada di sekitarnya jika emosinya terganggu.
-menyerang sesiapa sahaja berhampirannya jika emosinya terganggu.
-ada kalanya mencederakan diri sendiri.
-tiada rasa simpati dan tidak memahami perasaan orang lain.

Kanak-kanak autisme kurang berinteraksi dengan rakan-rakan dan biasanya memaparkan tingkah laku yang negatif seperti menjerit ataupun merosakkan harta benda orang lain. Kebanyakan masalah yang timbul adalah akibat gangguan terhadap interaksi sosial yang normal. Masalah disiplin ketara bagi kanak-kanak kategori ini malah mereka kurang terpengaruh dengan puji-pujian ataupun peneguhan sosial yang lain. Time out biasanya adalah cara yang tidak efektif bagi mengurangkan tingkah laku negatif kerana mereka dibiarkan sendirian.

Rabu, 27 November 2013

MASALAH INTELEK

Definisi masalah intelek

Kanak-kanak yang mengalami masalah intelek adalah kanak-kanak yang mengalami keadaan perkembangan minda dan daya pemikiran yang kurang ataupun tidak lengkap termasuk kecacatan dalam fungsi intelek dan sosial. Mereka turut mengalami masalah dalam pembelajaran disebabkan tahap mental yang rendah dan kurang ataupun tiada keupayaan dalam mengurus aktiviti seharian. Malah bagi aknak-kanak yang mengalami masalah ini yang teruk, tidak dapat berjalan, bercakap ataupun mengurus diri.

Jenis atau Kategori

Usaha bagi menentukan sama ada kanak-kanak mengalami masalah intelek ataupun tidak adalah bukan perkara yang mudah. Cara yang biasa digunakan adalah kaedah klinikal dan ujian IQ (intelligence quotient).

Berdasarkan ujian IQ, kanak-kanak masala intelek dibahagikan kepada 3 kategori iaitu :

  1. Ringan - skor IQ 50 hingga 75
  2. Sederhana - skor IQ 30 hingga 50
  3. Teruk - skor IQ 30 ke bawah

Punca Masalah Intelek


Grossman (1983) mengenal pasti 9 faktor yang menjadi punca kepada masalah intelek iaitu :

  1. jangkitan dan toksik akibat minuman keras
  2. trauma
  3. metabolisme ataupun pemakanan
  4. jangkitan di otak
  5. pengaruh semasa hamil yang tidak dikenal pasti
  6. kromosom yang abnormal
  7. gangguan semasa hamil
  8. gangguan dalam aspek psikiatri
  9. pengaruh persekitaran


Ciri-ciri Kanak-kanak Masalah Intelek


  • Proses kognitif : terhad dan menjejaskan pencapaian dalam bidang akademik
  • Perolehan dan penggunaan bahasa : kurang tepat daripada segi struktur dan kandungan
  • Keupayaan fizikal dan motor : termasuk penglihatan dan pendengaran serta penggunaan motor halus
  • Ciri-ciri peribadi dan sosial : kurang daya tumpuan, menimbulkan masalah tingkah laku







KANAK-KANAK MASALAH PEMBELAJARAN

Masalah Pembelajaran

Dalam tahun 1980-an, istilah 'masalah pembelajaran, mula digunakan bagi menggantikan istilah 'cacat akal'. Penggunaan istilah masalah pembelajaran diperkenalkan melalui Laporan Warnock (Warnock Report) bagi merujuk kepada kanak-kanak dengan keperluan khas. Penggunaan istilah ini lebih menjurus ke arah yang lebih positif dan mengurangkan keaiban. Istilah learning disability (LD) dan learning difficulty  digunakan secara saling berganti bagi menjelaskan orang yang mempunyai tahap fungsi intelek yang terhad dan sedang berkembang ataupun berkembang dalam tahap yang lambat berbanding kebanyakan orang lain(Thomas 1996).

Kategori LD adalah kategori yang rencam dengan pelbagai jenis kecacatan, termasuk terencat akal, down sindrom, masalah dalam komunikasi dan perkembangan bahasa, bermasalah emosi dan tingkah laku, kecacatan anggota, hiperaktif, hipoaktif, keupayaan mental yang rendah, dan pintar cerdas.

Kanak-kanak dengan LD menghadapi kesulitan dalam interaksi dengan persekitaran, iaitu situasi yang menghalang kemampuan belajar dan pembentukan pemahaman dunia sekitar mereka. Mereka sering mengalami
beberapa ketidakupayaan di sebalik kecacatan yang sememangnya dihadapi dan ini memerlukan sokongan daripada segi perubatan. 

Kanak-kanak LD memerlukan metodologi pengajaran yang menggalakkan mereka berinteraksi (Nind dan Hewett 1998) dan ini bergantung pada keupayaan guru bagi mengenal pasti cara murid itu bertingkah laku. Kanak-kanka ini juga sememangnya memberi tekanan emosi pada guru dan ini mencabar dari segi tingkah laku mereka (Kiernan dan Kiernan 1994). Kajian mengenal pasti senarai tingkah laku yang sukar dikawal oleh guru iaitu sikap agresif dari segi fizikal, mencederakan diri sendiri, menjerit dan membuat bising, mengganggu dan hiperaktif, terlalu obses dan melakukan perbuatan yang sama, tidak berminat untuk belajar (Harris dan colleagues 1986). Guru yang mengajar kanak-kanak ini perlu menggunakan pelbagai strategi yang efektif.

Tanda-tanda Awal Masalah Pembelajaran 

1. Peringkat umur 4 hingga 5 tahun

  • lambat bercakap berbanding kanak-kanak lain
  • masalah penyebutan
  • lambatmembentuk perbendahraan kata dan sering gagal menggunakan perkataan yang betul
  • sukar membunyikan perkataan
  • sukar memberi tumpuan dan sentiasa resah gelisah
  • menghadapi masalah dalam interaksi dengan rakan
  • sukar mengikut arahan ataupun rutin


2. Peringkat umur 6 hingga 7 tahun

  • lambat belajar hubungkait antara abjad dan bunyi
  • keliru dalam memahami perkataan kata dasar
  • sering melakukan kesilapan dalam membaca dan mengeja, termasuk keliru dalam bentuk huruf yang hampir serupa
  • sukar mengingat fakta
  • sukar mempelajari kemahiran baru terutama yang melibatkan hafalan
  • sering bersikap kelam kabut dan gagal membuat perancangan
  • tidak dapat memegang pensel dengan betul
  • sukar mengingat masa
  • mengalami masalah koordinasi mata-tangan 
  • kurang menyedari keadaan fizikal di sekeliling dan sering melanggar sesuatu objek


Sabtu, 16 November 2013

KANAK-KANAK MASALAH PENGLIHATAN

Masalah Penglihatan

Masalah penglihatan melibatkan individu yang tidak pernah dapat melihat, ataupun yang pernah melihat beberapa tahun tetapi lama kelamaan kehilangan penglihatan sedikit ataupun keseluruhan, ataupun mereka yang mengalami ketidakupayaan lain ditambah pula dengan masalah penglihatan, ataupun mereka yang mempunyai ketidakupayaan dalam bahagian-bahagian penglihatan. Ini bermakna masalah penglihatan merujuk kepada semua tahap terhad dalam penglihatan, merangkumi semua tahap.

Jenis Masalah Penglihatan

Terdapat dua kategori utama dalam masalah penglihatan iaitu buta dan rabun ataupun juga disebut penglihatan terhad (low vision). Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan buta dan rabun sebagai:

  1. Buta - penglihatan kurang daripada 3/60, pada mata yang terbaik ataupun medan penglihatan kurang daripada 10' setelah menerima rawatan ataupun pembetulan biasan (refraktive)
  2. Rabun ataupun penglihatan terhad (low vision) - penglihatan kurang daripada 6/18 sehingga persepsi cahaya pada mata yang terbaik ataupun medan penglihatan kurang daripada 10' sesudah rawatan ataupun pembetulan biasan (refraktive). Individu dengan penglihatan terhad dapat melakukan tugas seharian menggunakan deria penglihatan.

Punca Masalah Penglihatan

Terdapat pelbagai punca bagi kecacatan ini termasuk:
  • Baka dan keturunan
  • Komplikasi semasa hamil dan semasa lahir
  • Rubela
  • Sifilis 
  • Kecederaan
  • Penyakit

Tahap Kecacatan
  • Sederhana
  • Teruk
  • Sangat teruk

Tanda-tanda Masalah Penglihatan

1. Rupa
  • Bebola mata yang selalu berputar-putar
  • Mata yang selalu bergerak-gerak
  • Tidak bertindak balas terhadap cahaya yang terang
  • Bintik-bintik putih pada pupil
  • Bahagian tepi mata berwarna merah
  • Mata selalu berair
  • Mata yang terlalu sensitif terhadap cahaya
2. Tingkah Laku
  • Selalu memusingkan kepala ke sebelah sahaja, misalnya untuk melihat papan tulis ataupun objek
  • Selalu mengerutkan ataupun mengecilkan mata
  • Kerap berkelip
  • Kerap menggosok mata
  • Selalu menutup sebelah mata
  • Selalu terlanggar objek
  • Keliru dengan huruf
  • Menonton televisyen ataupun membaca buku dengan jarak terlalu dekat
  • Memegang buku ataupun bahan bacaan terlalu dekat dengan muka ataupun pada sudut berlainan
  • Sering mencari-cari baris ayat yang dibaca
  • Meniru kerja kawan
  • Tidak menyiapkan tugasan yang diberi
  • Selalu mengelak membuat sebarang tugasan yang diberi
3. Aduan
  • Selalu mengadu sakit kepala, loya dan pening
  • Penglihatan kabur
  • Nampak dua imej pada satu objek
  • Penglihatan kabur selepas tekun membuat kerja
  • Sensitif terhadap cahaya
  • Mata yang selalu gatal